Wednesday, July 8, 2009

KTBM @ BIM?

Salam semua...
Dah lama saya tak masuk blog ini. Sepanjang dua minggu lepas, saya sangat sibuk dengan sukan tahunan sekolah saya. Dalam sibuk-sibuk, sempat juga saya jenguk-jenguk blog kawan-kawan pekak yang lain.
Tentu anda semua tertanya-tanya tentang tajuk ini. Sebagai guru pekak, saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat saya tentang isu orang pekak yang hangat diperkatakan dalam beberapa blog kawan-kawan pekak lain.
Isu penggunaan KTBM dan BIM di sekolah-sekolah pendidikan khas pekak negara ini sudah lama diperkata dan diperdebatkan. Bagi saya, kedua-duanya sama-sama penting kepada murid-murid pekak. Saya tidak menyokong mana-mana pihak. Walaupun saya sendiri terdedah terlebih dahulu kepada BIM, bagi saya KTBM juga penting kepada murid-murid pekak.
Murid-murid pekak di sekolah rendah lebih didedahkan kepada penggunaan KTBM. Ini adalah dasar kerajaan dan sebagai guru pendidikan khas serta kakitangan kerajaan, saya perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan. Walaubagaimana pun, bukan bermakna BIM tidak digunakan langsung. Tanyalah mana-mana guru pendidikan khas pendengaran, mereka pastinya ada menyelitkan BIM untuk memudahkan penerangan sesuatu tajuk pelajaran.
Pendidikan khas pendengaran sekolah rendah berbeza dengan sekolah menengah. Ini adalah kerana disinilah murid-murid pekak mengenal perkataan, ayat, imbuhan dan memperkembangkan bahasa mereka. Sebagai contohnya, seorang murid diminta membaca petikan teks dari buku Bahasa Melayu. Murid ini akan membaca menggunakan KTBM yang ada isyarat imbuhan 'ter', 'ber', 'an' dan lain-lain. Perlu diingatkan bahawa tatabahasa dan nahu Bahasa Melayu begitu kompleks. Kadang-kadang murid pekak terkeliru dengan perbezaan makna sesuatu perkataan.
Ini berbeza dengan murid-murid pekak sekolah menengah. Mereka ini lebih terdedah dengan BIM melalui pergaulan dan komunikasi dengan orang pekak dewasa. Walaupun KTBM digunakan, tetapi penggunaannya sangat sedikit. Kadang-kadang saya perhatikan guru sekolah menengah pekak sukar mengikuti isyarat yang digunakan oleh pelajar mereka.
Murid-murid pekak yang mempunyai adik, kakak, abang atau ibu bapa pekak lebih mudah menguasai kedua-dua bahasa KTBM dan BIM. Dan yang penting mereka ini mudah menerima pengajaran yang di ajar oleh guru.
Guru-guru pendidikan khas pekak sendiri rasa serba salah dan tersepit dalam perkara ini. Kebanyakan dari mereka ini ada menggunakan BIM kerana lebih mudah untuk menerangkan sesuatu topik pelajaran.
Saya rasa kedua-dua bahasa isyarat KTBM dan BIM sama penting dan saling sokong-menyokong. Apa yang penting pemimpin pekak haruslah sama-sama berganding bahu membantu pihak kerajaan untuk meningkatkan pencapaian murid-murid pekak dalam akademik. Pemimpin pekak juga perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya sukatan matapelajaran murid pekak diubahsuai sesuai dengan tahap kemahiran murid-murid pekak.

No comments:

Post a Comment