Tajuk buku : Raihlah Bahagia
Nama pengarang : Siti Marziah Zakaria
Muka surat : 314
Setelah membaca buku ini resensi saya ialah meraih kebahagiaan memerlukan kesedaran akan hakikat dan realiti bahagia. Apa yang penting ialah jangan salah mentafsir bahagia, kelak ia tidak akan kunjung tiba dan kita akan kecewa. Yakin dengan kebolehan dan kekuatan diri dan cuba atasi kelemahan-kelamahan yang ada. Buatlah perubahan pada diri dan hidup kita. Berfikirlah secara positif dan optimistik. Berfikir secara positif dapat membentuk tindakan-tindakan yang positif dan natijahnya juga akan positif. Jangan jadikan kelemahan diri sebagai alasan untuk tidak maju dan tidak meraih bahagia. Anggaplah kelemahan sebagai cabaran untuk terus berusaha meningkatkan potensi diri.
Setiap individu dianugerahkan kehebatan tersendiri, cuma bergantung kepada individu tersebut untuk mengenalpasti, menghargai dan memanfaatkan kehebatan tersebut. Hargailah apa yang telah dimiliki, anugerah ibu bapa/suami/isteri yang baik, anak-anak penyeri hidup, kediaman yang selesa dan keluarga yang sentiasa menyokong. Bersyukurlah kerana kita miliki semua itu dan cubalah pelihara sebaiknya apa yang telah dimiliki. Usah hanya mengejar apa yang tidak dimiliki umpama anjing mengejar bayang-bayangnya.
Renungilah kebaikan dan jasa yang telah dilakukan oleh insan di sekeliling kita. Pengorbanan suami atau isteri, ibu bapa dan keluarga yang tidak ternilai mesti dihargai. Usah pentingkan diri dan menghitung apa yang telah kita lakukan untuk orang lain. Sebaliknya, sentiasalah meneliti apa yang kita terima selain sedia membantu, menyokong dan menasihati untuk kebaikan. Jangan terlalu meletakkan harapan yang menggunung kepada orang terdekat, terutamanya suami atau isteri, anak-anak atau ibu bapa. Berpada-padalah dalam mengharap supaya kita tidak kecewa. Jika mereka menghulurkan sesuatu, berterima kasihlah. Jika tidak, redalah kerana mungkin mereka ada sebab tersendiri.
Belajarlah menyayangi dan menghormati orang lain. Tidak kira siapa mereka, sematkan dalam diri bahawa setiap makhluk ALLAH adalah mulia. Hormatilah hak mereka sebagai individu dan jangan merasakan bahawa kita adalah lebih baik. Jangan sombong dengan manusia lain kerana sifat itu bukan sahaja dibenci oleh insan, tetapi juga Pencipta insan.
Walau di mana pun kita berada, jadilah penawar yang boleh menghidupkan, menghiburkan dan menyejukkan suasana. Hindarilah sifat-sifat terkutuk seperti tamak, bakhil, pencaci, bongkak dan penfitnah. Gantikan dengan sifat-sifat mahmudah seperti pemurah, pemaaf, merendah diri dan amanah. Barulah jiwa kita akan tenang dan kehidupan kita akan diredai serta dilimpahi kebahagiaan.
Lumrah di dalam hidup kita, masalah datang silih berganti. Masalah bukan untuk dihindari, tapi adalah untuk ditangani. Belajarlah kemahiran untuk menangani masalah dengan berkesan, mudah-mudahan banyak iktibar yang dapat diperolehi. Dewasalah manusia yang berjaya mengatasi masalah dengan bijak kerana masalah adalah guru yang bertauliah.
Bertindak balaslah secara positif kepada semua pengalaman hidup. Pengalaman pahit, manis dan perit adalah rempah ratus yang memberi rasa kepada kehidupan dan menyedarkan kita untuk bersyukur di kala gembira. Bersedialah untuk menghadapi semua itu dengan dada yang lapang, insya-ALLAH kebahagian akan muncul jua. Sentiasa panjatkan kesyukuran pada-NYA kerana kita dikurniakan nikmat Islam, iman dan kehidupan di alam fana ini. Sedarilah bahawa kita sentiasa disayangi dan dicintai oleh ALLAH, rasul dan ibu bapa agar jiwa sentiasa tenang dan bahagia. Ingatlah bahawa.....bahagia itu milik kita. Sesungguhnya...sandaran bahagia bukan pada luaran tapi, pada hati, jiwa dan minda yang hidup.
KU INGIN BAHAGIA
Bahagia
Bukan pada harta
Bukan juga pada rupa
Bukan pada status
Bukan pada segala yang bersifat duniawi
Tapi....
Bahagia itu letaknya pada hati yang tenang
Hati yang meredai
Hati yang mensyukuri
Hati yang memaafkan
Hati yang dipenuhi kasih sayang
Hati yang tunduk pada ILAHI
Itulah bahagia yang sebenar
Kekal abadi selamanya....
No comments:
Post a Comment